APA hukum permainan game meneka jodoh, tarikh perkahwinan dan sebagainya?


Jawapan:
Jika sekadar permainan untuk suka-suka, bergurau senda dan sebagainya maka ia tidak salah. Ini tidak termasuk dalam perbuatan menilik nasib yang dilarang sebagaimana disebut dalam hadis Nabi Muhammad SAW. Saya yakin bahawa majoriti yang bermain hanya sekadar ingin berhibur.


Namun ada masanya akan menjadi sesuatu yang ditegah dalam agama. Ini berlaku apabila kita yakin kepada tekaan tersebut. 


Sebagaimana tegahan amalan al-Azlam yang disebut dalam al-Quran. Al-Azlam ialah amalan masyarakat Arab sebelum melakukan sesuatu perkara. Mereka akan mencabut batang (mungkin kayu) sebelum melakukan sesuatu. 


Contohnya ingin musafir berniaga. Maka ada tiga batang kayu. Mereka akan mencabut satu kayu sahaja. Pergi atau tidak bergantung kepada tulisan yang terdapat pada kayu tersebut. 


Maka perkara ini adalah bertentangan dengan Islam kerana dakwaan mengetahui perkara ghaib.
Adapun permainan sekadar mengisi masa, maka ia tidak sampai kepada tahap menilik nasib dan juga amalan al-Azlam.


Apapun, sewajarnya permainan ini dielakkan. Ia tidak berfaedah pada diri, harta, agama dan sebagainya. Ia adalah amalan yang sia-sia. 


Selain itu, ia berkemungkinan membentuk suatu kepercayaan bahawa ramalan ini ada kebenaran dalam diri orang yang terlibat khususnya bagi yang kurang kefahaman agama.


 Justeru, bagi menutup jalan ke arah keburukan, maka sewajarnya Muslim mengelakkan diri daripada amalan ini. Sebaliknya kita diajar melakukan solat istikharah. Juga mengambil keputusan berdasarkan fakta.


Sumber: Utusan


SIGN INTO YOUR ACCOUNT CREATE NEW ACCOUNT

Your privacy is important to us and we will never rent or sell your information.

 
×

 
×
FORGOT YOUR DETAILS?
×

Go up

New Report

Close